PENDAHULUAN
Anak ialah suatu anugerah terindah yang diberikan oleh Allah yang tidak
ternilai harganya dalam kehidupan seseorang insan untuk dipertanggungjawabkan
ke atasnya yang harus diterima dengan perasaan gembira tetapi perlu disertai
dengan tanggungjawab dan penuh keperhatian. [1]Ramai
di kalangan pasangan yang berkahwin menanti saat bahagia seperti ini, iaitu
saat menimang cahaya mata. Kehadiran anak merupakan penyeri dan pelengkap
kehidupan dan ia juga menambahkan rezeki kepada sesebuah keluarga.[2]
Walau bagaimanapun anak-anak juga merupakan sebagai perhiasan kehidupan
dunia yang menjadi kebanggaan pada setiap insan, kerana itu di saat anak masih
kecil ia adalah suatu perhiasan terindah tetapi apabila anak sudah meningkat
dewasa kadang-kadang anak akan menderhaka dan melupakan ibu bapanya. Ini
bermakna anak adalah sesuatu yang indah serta melengkapkan hidup manusia pada
asalnya agar memiliki kebahagian bersama keluarga. Tanpa anak sesebuah keluarga
di anggap tidak lengkap, tidak sempurna dan tidak indah. Islam telah
menggariskan panduan kepada kita untuk mendapatkan anak bahkan perlu mengikut
syariat Islam iaitu melalui perkahwinan.
Justeru, apabila anak lahir perlu diberi belaian kasih sayang, didikan dan
pembelaan yang paling sempurna dari ibu bapa agar mereka dapat menunaikan
tugas-tugas sebagai Khalifah Allah di muka bumi sebagaimana yang telah
dinyatakan di dalam Al Quran, firman Allah swt :
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي
جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا
وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ
إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُون[3]
(Surah Al-Baqarah : 30)
Maksudnya:“Dan (ingatlah) ketika tuhanmu berfirman
kepada malaikat, “sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka
bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata):”
adakah engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu itu rang yang akan
membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) padahal kami sentiasa
bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya aku
mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahui”.
Namun pada zaman kini yang serba moden
terdapat banyak permasalahan yang berlaku dikalangan para remaja kerana
terdedah dengan bahan-bahan lucah dan mudah terpengaruh akan apa yang diperlihatkan
shingga lupa bahawa dalam Islam perbuatan itu adalah dilarang. Masalah yang berlaku
di sekeliling kita di mana anak-anak menjadi mangsa penyeksaan, penderaan,
penindasan dan pembuangan oleh manusia yang tidak berperikemanusiaan. Anak-anak
yang menjadi mangsa buangan ditemui di tandas, longkang, masjid, tong sampah
dan sebagainya. Bayi yang dijumpai oleh mereka yang mempunyai sifat perihatin
terhadap bayi itu dalam keadaan masih bernyawa,[4] ia
dikira bernasib baik kerana kelahirannya amat bermakna bagi seseorang yang
berkeinginan untuk memiliki anak meskipun sebahagian daripada mereka adalah
anak di luar nikah tetapi amat malang jika dijumpai dalam keaadan telah
meninggal dunia. Sedangkan Allah menjadikan manusia sebaik-baik kejadian dan
menurut al-Quran manusia berasal daripada nabi Adam dan isterinya Hawa.[5]
Tidakkah mereka sedar bahawa mereka akan dipertanggungjawabkan dan diadili
Allah di hari akhirat kelak malah kesan dari pembuangan bayi ini mewujudkan Al-Laqit.
Al-Laqit ialah anak yang terbiar, tersesat di jalanan dan tidak
diketahui siapa ibubapa mereka. Sebagai makhluk Allah, sudah pastilah anak yang dibuang
dan ditemui ini memerlukan perlindungan dan hak yang sewajarnya. Sebagaimana yang disebutkan di dalam sebuah
hadis yang bermaksud[6] :
“Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap penanggungjawab akan
tanggungjawabnya, apakah dia telah memeliharanya atau mensia-siakannya”.
(Hr
Ibnu Hiban)
DEFINISI PEMBUANGAN BAYI (AL-LAQIT)[7]
Dalam Lisan Al-„Arab memberi makna sebagai kanak-kanak yang
didapati terbuang di jalanan tanpa diketahui ibubapanya, Begitu juga dalam Al-Munjid
mendefinisikan sebagai anak yang dibuang. Manakala pada istilah syara’ pula
terdapat beberapa ulama yang mendefinisikan mengenai maksud Al-Liqat,
antaranya adalah :
Ulama Hanafiyah mendefinisikan
Al-Laqit dalam
kitab Al-Mabsut karangan Imam
Al-Sarakhsi sebagai
nama kepada kanak-kanak yang hidup serta ditinggalkan oleh ahli keluarganya
kerana takut dihina ataupun untuk mengelakkan pandangan serong masyarakat
terhadapnya perbuatan zina yang dilakukan. Manakala dalam kitab Al-Banayah Fi
Sharh Al-Hidayah karangan Abi Mahmud bin Ahmad Al-Aini pula, dibuang sama ada
di jalan atau selainnya dan tiada sesiapa yang mengaku bahawa itu haknya.
Adapun Al-Laqit menurut Ibrahim Al-Nakhai’i ialah kanak-kanak yang
tidak diketahui nasabnya dan bukan hamba, dibuang atau tersesat, maka dipungut
oleh manusia. Sementara makna yang diberikan oleh Imam Ja’far Al-Sadiq
ialah orang yang dibuang keluarganya, dan ditinggalkan atas sebab-sebab
tertentu.
Jenayah pembuagan bayi terjadi akibat daripada amalan seks secara bebas
sebelum memasuki rumah tangga, terlanjur dalam hubungan cinta dan institusi
keluarga goyah kerana bermasalah. Mereka yang terlibat terpaksa membuang bayi
disebabkan terdesak, malu dan takut. Kejadian ini membuatkan mereka menangis mengenangkan
nasib ciptaan Allah yang paling mulia di sisiNya yang mana tidak dipandang
dengan mata hati dan dicampak merata-rata yang diciptakan oleh Allah seolah
ianya sesuatu yang tidak tidak bernilai serta tanpa bernyawa. Sedangkan ianya
ciptaan Allah yang suci dari sebarang dosa tetapi dilahirkan dari insan yang
bernafsukan syaitan. Pengamalan ini kian berlaku pada masyarakat masa kini.
Maksiat dan aktiviti seksual sering terjadi di sekeliling kita pada setiap
tempat terutama sekali pada kalangan remaja melayu yang beragama Islam, tidak
menitik beratkan dosa atau pahala. Tambahan pula, mereka yang mempunyai
pendidikan tinggi sehingga ke peringkat IPT yang baik lagi mantap. Sementara
keburukan yang merupakan dosa pula adalah sesuatu yang bertentangan dengan
fitrah manusia. Sekiranya dosa terus-menerus dilakukan, kebinasaan dan
kerosakan akan menimpa kehidupan seseorang itu. Dosa juga akan mengheret
manusia ke dalam api neraka jahanam yang diperuntukkan kepada mereka yang
mengingkari perintah Allah swt[8]
dan dari perbuatan dosa inilah yang melahirkan satu janin yang lahir bukan atas
kehendak mereka tetapi dari nafsu serakahnya yang hanya mementingkan diri
sendiri.
Hampir setiap minggu kita mendengar daripada televisyen, akhbar dan majalah
tentang kes pembuangan bayi dan kebanyakannya ditemui mati dalam keadaan
menyedihkan dan ada yang bernasib baik dijumpai dalam keadaan masih hidup.
Antara tempat-tempat yang sering dibuang adalah seperti bersebelahan tong
sampah, tempat pembuangan sampah, lubang tandas serta di tempat awam seperti di
masjid, tandas awam dan sebagainya. Disitu menjadi tempat dimana bayi-bayi
malang ini dijumpai. Apakah kita ingin digelar sebagai masyarat yang tidak
bertamadun dan tidak berperikemanusiaan seperi yang terjadi di zaman jahiliyyah
sebelum kedatangan Islam. Kesemua kanak-kanak perempuan ditanam hidup-hidup
untuk menutup malu dan hanya mempertahankan maruah keluarga. Ini kerana untuk
menjauhkannya daripada faktor-faktor kelemahan dan melindunginya dengan apa
sahaja bagi mendapat jaminan keharmoniannya.[9]
Tetapi lihatlah apa yang telah terjadi pada zaman sekarang. Kanak-kanak dilayan
tanpa rasa belas kasihan dan dibuang
merata-rata demi menutup malu dan maruah orang yang melakukannya. Sebagai
firmannya :
وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ
مِنْ إِمْلَاقٍ ۖ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ ۖ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan, Kami akan memberi rezeki
kepadamu dan kepada mereka”
Kes pembuangan bayi semakin meningkat dari hari ke hari. Telah banyak usaha
kerajaan untuk membasmi gejala ini dengan mengadakan kempen, petunjukan, denda
seperti penjara 20 tahun kepada sesiapa yang didapati bersalah melakukan
jenayah telah dijalankan, namun usaha ini tidak menampakkan hasil malah ianya
semakin menjadi-jadi sehingga tidak dapat dibendung lagi. Islam dan agama terutama di Malaysia sangat mengharamkan dan
menegah pengguguran dan pembuangan bayi di kalangan masyarakat. Ianya dianggap
satu dosa besar kerana membunuh dengan niat. Sebagaimana yang telah disebut
dalam al-Quran, firman Allah swt :
وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا
مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ
وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا[10]
Maksudnya : “Dan
barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah
Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya
serta menyediakan azab yang besar baginya”
(Surah an-Nisa’ : 39)
DALIL
PENSYARIATAN
Islam merupakan agama yang sempurna oleh itu Islam menggalakkan umatnya untuk
membuat amal ma’ruf dan kebajikan. Antara dalil-dali yang menunjukkan Al-Liqat
adalah berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah.
وَافْعَلُوا الْخَيْرَ
لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Sembahlah tuhanmu dan perbuatlah kebajikan supaya kamu
berjaya (di dunia dan akhirat)”.
(Surah al-Hajj : 77)
Di dalam ayat
ini, Allah s.w.t menyuruh hambaNya supaya melakukan perbuatan yang baik dengan
membuat amal kebajikan dan menjaga manusia lain jika sekiranya mereka mahu
berjaya di dunia dan di akhirat. Amal kebajikan yang dimaksudkan itu ialah memungut dan
memelihara Al-Liqat.
b)
Sabda nabi s.a.w[12] :
حدثنا يحيى بن يحيى التميمي وأبو بكر بن أبي شيبة ومحمد بن العلاء الذمداني - واللفظ ليحيى - ) قال
يحيى أخبرنا وقال الآخران حدثنا ( أبو معاوية عن الأعمش عن أبي صالح عن أبي ىريرة قال قال رسول الله صلى الله عليو و سلم من نفس عن مؤمن كربة من كرب الدنيا نفس الله عنو كربة من كرب يوم القيامة ومن يسر على معسر يسر الله عليو في الدنيا والآخرة ومن ستر مسلما ستره الله في الدنيا والآخرة والله في عون العبد ما كان العبد في عون أخيو) رواه مسلم).
Maksudnya: “Sesiapa yang melepaskan
salah satu kesusahan seseorang mukmin di dunia, Allah akan melepaskan salah satu
kesusahannya di hari akhirat. Sesiapa yang memudahkan urusan orang yang susah,
Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup
keaiban seorang muslim, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat.
Allah akan membantu seseorang hamba sebagaimana dia membantu saudaranya”
Dalam hadis ini, Allah swt akan memberi ganjaran kepada
hambaNya yang membantu saudaranya di dunia di mana Allah akan melepaskan
kesusahannya, memudahkan urusannya dan akan menutup keaibannya di akhirat
kelak.
PUNCA-PUNCA BERLAKU AL-LAQIT[13]
Terdapat Pembuangan bayi berlaku disebabkan
oleh pergaulan bebas dan seks bebas di kalangan remaja. Terdapat dua faktor berlakunya kes pembuangan bayi dari
aspek luaran dan juga dalaman.
Kesan masalah pembuangan bayi ini membabitkan individu, keluarga,
masyarakat dan negara. Gejala ini tidak akan disembuhkan sepenuhnya jika tiada
kerjasama antara semua pihak. Dengan berleluasanya masalah pembuangan bayi maka
selama itulah akan wujudnya masalah Al-Laqit .
FAKTOR DALAMAN
Faktor dalaman adalah merujuk kepada perbuatan
individu yang terlibat dalam masalah pembuangan bayi merangkupi dari segi
sikap, perbuatan, tingkah laku individu itu ke arah perbuatan tersebut. Antara
faktor tersebut adalah seperti berikut :
1)
Kejahilan
Kejahilan remaja adalah merupakan faktor yang
mendorong mereka terjebak di dalam hubungan bebas dan perbuatan zina. Tidak
dinafikan remaja hari ini memang cemerlang dalam pelajaran mereka, tetapi dari
sudut kerohanian mereka amat kering kontang. Seolah-olah pendidikan agama yang
diperolehi melalui subjek pendidikan Islam di sekolah rendah dan menengah masih
belum mencukupi. Kesudahannya mereka tidak dapat mengasimilasikannya ke dalam
diri mereka.
Tambahan pula apabila ibubapa hari ini kurang
mengambil berat terhadap anak-anak malahan mereka memberi kebebasan sepenuhnya
kepada anak mereka. Mereka sama sekali tidak mengambil tahu apa yang anak
mereka buat, adakah anak mereka sudah sembahyang, dengan siapa mereka bergaul
dan lain-lain lagi. Apabila anak mereka terjebak dengan hubungan luar nikah
kemudian mengandung, barulah mereka tersentak dan mulalah menyalahkan orang
lain biasanya guru yang sering disalahkan kononnya tak pandai mendidik
anak-anak mereka. Hal demikian, Ibubapa tidak dapat menerima keadaan ini maka
kesudahannya anak-anak itu akan dimarahi, diherdik, dibuang dari keluarga malah
dihalau dari rumah. Jadi kemana anak-anak ini hendak pergi, teman lelaki pula
tidak mengaku dan mengambil sikap lepas tangan, ibubapa pula sudah membuang
mereka, tinggallah mereka sendirian, Jadi untuk menyelesaikan masalah
menyebabkan mereka mengambil keputusan yang tidak matang seperti hendak
menggugurkan kandungan itu atau apabila sudah dilahirkan mereka nekad membuang
malahan membunuh anak yang dilahirkan itu.
Bekas Menteri Pembangunan wanita, keluarga
dan masyarakat YB Dato` Dr. Ng Yen Yen memberi komentar tentang masalah ini di
mana beliau berkata kebanyakkan masyarakat banyak memperkatakan tentang unsur
pencegahan masalah ini sedangkan amat jarang memperkatakan tentang cara untuk
menanganinya.[14]
Begitu juga dengan kejahilan mereka tentang pendidikan seks yang betul
menyebabkan mereka terjebak dalam masalah pembuangan anak ini. Islam sendiri
menekankan kaedah, “mencegah lebih baik dari mengubat”. Tetapi apabila
sesuatu masalah itu berlaku, maka kita perlu menangani masalah tersebut.
Pendidikan seks di peringkat sekolah rendah dan menengah kepada pelajar bukan
untuk menggalakkan mereka melakukan seks di usia muda jauh sekali untuk menarik
mereka kepada penzinaan, sebaliknya pendidikan seks adalah untuk memberi
pendedahan awal kepada mereka tentang hakikat kejadian mereka di dunia,
bagaimana proses pembentukan manusia dan mereka tahu menguruskan diri mereka
dengan baik dari segi dalaman dan luaran. Sekurang- kurangnya pendidikan ini
dapat mencegah mereka terlibat dengan perkara yang menyalahi agama serta
tersasar dari landasan agama.
Tujuan pendedahan ini supaya mereka tidak
mudah terpesona dengan hawa nafsu dan ditipu oleh teman lelaki atau
kawan-kawan. Dengan pengetahuan tentang agama dan tentang seks mereka akan
faham dan akan menggunakan akal mereka dengan betul, mereka akan dapat menjaga
diri mereka sendiri dengan sebaiknya. Jadi, segala yang mereka lakukan, mereka
tidak akan membelakangkan agama kerana mereka telah mempelajari dan mengamalkan
apa yang telah disampaikan oleh guru-guru di sekolah agar mereka dapat mengawal
pergaulan bersama lain jantina mahupun yang mengenaik seks sekiranya ada ajakan
dari orang sekelilingnya. Jika sekiranya mereka tidak mengetahui tentang
pendidikan seks ini, mereka akan hanya mencari keseronokan semata-mata, apabila
sudah mengandung, mereka tidak teragak-agak untuk menggugurkankan atau jika
kandungannya tidak digugurkan, maka perempuan tadi akan melahirkan anak dan
besar kemungkinan anak tadi akan dibuang atau dibunuh atau diberikan kepada
orang untuk dipelihara.
Menurut Abdullah Nasih `Ulwan dalam
kitabnya Tarbiyah Al-Awlad fi Al-Islam,[15]
pendidikan seks itu ialah mengajar anak dan memperkenalkan dengan terus terang
sejak dari usia mula boleh berfikir serta faktor-faktor yang berkait rapat
dengan seks dan yang berhubungan dengan
tabiat semulajadi manusia melalui perkahwinan. Kemudian apabila anak membesar
serta memahami segala urusan hidup, nescaya dia akan tahu apa yang dihalalkan
dan apa yang diharamkan oleh agama. Nilai-nilai Islam akan mempengaruhinya
dalam kelakuannya dan kebiasaannya. Dia tidak akan terdorong oleh
perkara-perkara yang mengikut hawa nafsunya yang sesat dan tidak akan
terpengaruh dari jalan yang menghalalkan segala cara. Beliau berpendapat bahawa
pendidikan seks yang mesti diambil berat oleh para pendidik terdiri daripada
empat peringkat iaitu:-
i)
Anak yang berumur antara 7 -10 tahun, peringkat ini dipanggil umur tamyiz,
diperingkat ini anak itu harus diberi petunjuk tentang adab-adab minta dan adab
penglihatan.
ii) Anak yang berumur antara 10-14 tahun, peringkat
ini dipanggil umur murahaqah, diperingkat ini anak itu harus dijauhkan dari segala
rupa perkara yang menimbulkan nafsu seks.
iii)
Anak yang berumur antara 14-16 tahun, peringkat ini dipanggil umur baligh (cukup
umur), diperingkat ini anak itu harus diajar tentang adab-adab perhubungan seks
andai sudah bersedia untuh berumahtangga.
iv) Umur sesudah umur baligh iaitu dipanggil
umur dewasa, diperingkat ini anak itu harus diajar adab-adab memelihara diri
andai masih belum mahu berumahtangga.
Manusia dilahirkan secara berpasang-pasangan lelaki
dan perempuan.Memang tidak dapat dinafikan keinginan untuk hidup berpasangan
adalah salah satu daripada naluri semulajadi manusia. Malah Islam sendiri
menganjurkan umatnya supaya berkahwin sebagai satu jalan untuk memenuhi
kehendak nafsu yang tidak terbatas. Di dalam perkara ini Allah s.w.t telah
berfirman:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ
كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
(Surah Al-Isra’ :32)
Maksudnya: “Dan janganlah kamu
menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan
satu jalan yang jahat(yang membawa kerosakan”
Dalam ayat ini dengan tegas Allah melarang
manusia dari terjebak dengan perzinaan. Akibatnya jika manusia membelakangkan
agama, maka mereka akan mengikut hawa nafsu
mereka sendiri, mereka akan tenggelam dalam lautan nafsu tanpa dapat membezakan
mana yang halal dan mana yang haram. Selain itu mereka ingin berseronok hanya
sekadar untuk ingin tahu. Akibatnya mereka terlanjur yang membawa kepada perlakuan
sumbang dan seks bebas. Akhirnya lahirlah penyakit-penyakit sosial dalam
masyarakat seperti kelahiran anak luar nikah, pembuangan bayi dan sebagainya.
3) Percintaan[17]
Cinta adalah suatu yang suci, sesuatu yang indah, semua orang mempunyai
cinta dan berhak untuk bercinta dan dicintai. Allah mengurniakan cinta supaya
manusia dapat berkasih-sayang dan bersilaturrahim di antara satu sama lain.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ
إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا
وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ
إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
(Surah Al-Hujurat: 13)
Maksudnya: “ Wahai umat manusia, sesungguhnya kami
telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan
kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu kenal-kenalan (dan beramah
mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi
Allah ialah yang lebih taqwanya di antara kamu,(bukan yang lebih keterunan atau
bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi maha mendalam
pengetahuannya”.
Dalam ayat ini Allah menyuruh manusia berkenal-kenalan
untuk menghubungkan silaturrahim dan berkasih sayang sesama manusia. Apabila
melibatkan pertemuan lelaki dan perempuan maka lahirlah cinta. Namun cinta yang
dikehendaki ialah cinta yang mengikut landasan agama. Sayangnya cinta ini,
seringkali ia telah disalahgunakan di mana hubungan cinta ini dilihat telah
menjadi satu alat untuk membuktikan cinta sejati. Akhirnya remaja telah
terjebak ke dalam kancah gejala hubungan seks bebas. Fenomena ini sering
menjadi-jadi terutamanya di kalangan remaja kononnya untuk membuktikan cinta.
Ada juga yang ditipu oleh teman lelaki yang kononnya baik dan bertanggungjawab.
Apabila telah dirosakkan, mereka ditinggalkan atau paling malang mereka dijual
ke rumah pelacuran maka rosaklah dunia. Ini semua gara-gara nafsu yang tidak
pernah puas dengan apa yang ada. Kehendaknya tidak terbatas kerana tidak kenal
puas melayani nafsu bagai meminum air laut, semakin diminum semakin haus.[18]
Matlamat cinta
remaja lelaki tidak sama dengan remaja perempuan kerana ia bersandarkan
keinginan seksual dan mahu menyahut cabaran rakan sebaya tetapi tidak sanggup
bertanggungjawab terhadap tindakan mereka. Sekiranya teman wanitanya hamil, maka
mereka akan menuduh kehamilan disebabkan hubungan dengan lelaki lain, melarikan
diri malah sanggup membunuh untuk menghapuskan bukti. Gejala
seks bebas dan pelacuran ini memberi kesan yang lebih buruk dengan kehamilan
yang tidak dirancang yang menyebabkan berlakunya gangguan emosi, stress,
kemurungan, membunuh diri, pembuangan bayi, kelahiran yang tidak selamat serta
jangkitan penyakit kelamin seperti siflis dan AIDS.
FAKTOR LUARAN
Terdapat faktor luaran yang mempengaruhi remaja. Faktor-faktor luaran
itu lebih bersifat pengaruh luaran yang mendominasi suasana dan situasi sesuatu
keadaan. Faktor ini secara langsung atau tidak langsung menjadi punca kepada
masalah sosial di negara kita. Antara faktor-faktor luaran tersebut kepada
beberapa faktor iaitu:
1. Pengaruh Budaya Barat
Pengaruh budaya
barat sudah bermula semenjak kejatuhan Tanah Melayu ke tangan British pada
tahun 1824. Penjajahan itu telah menyebabkan berlakunya pertembungan budaya
barat dengan budaya Melayu. Pertembungan elemen-elemen baru yang diperkenalkan
oleh penjajah dengan amalan-amalan tradisi orang Melayu, banyak mewujudkan
konflik dan kontradiksi. Ini kerana, pengaruh barat dan nilai-nilai dari barat
terus melanda, malah menjadi kian dominan. Perkembangan
teknologi maklumat menjadikan dunia kini semakin kecil. Segala perkembangan berlaku
terutamanya, di negara-negara maju di Barat, akan tersebar dengan begitu cepat
di seluruh dunia. Pengaruh barat ini dapat dilihat yang mana semakin menular
dalam kalangan masyarakat kita hari ini terutamanya golongan muda-mudi yang
mudah terpengaruh dengan aliran muzik dan budaya barat seperti thrash, heavy
metal, black metal, punk , skinhead. Aliran-aliran ini
jelas sama sekali bertentangan dengan ajaran agama Islam.[19] Bukan
itu sahaja malah mereka lebih menyenangi cara berpakaian dan fesyen terkini
yang dibawa dari barat. Mereka menganggap apa yang dibawa oleh barat ini ‘trend’
yang ‘up to date’ dan sesuai dengan kehidupan mereka . Maka pada
hari ini lahirlah remaja yang berpakaian tetapi sebenarnya tidak berpakaian
kerana menampakkan bentuk badan serta jarang maka tuntutan agama yang menyuruh
mereka untuk menutup aurat sudah tidak diendahkan lagi. Mereka lebih suka
meniru kehidupan orang-orang barat. Lanjutan daripada propaganda globalisasi
ini juga telah diwartakan melalui saluran teknologi maklumat dunia bahawa semua
produk barat adalah maju, moden, bermutu dan berperikemanusian.
Pada dasarnya terdapat dua perkara negatif yang boleh
dilihat dalam konteks ini. Pertamanya, fahaman yang menggangap bentuk kebudayaan
dan produk barat sebagai maju, baik dan berperikemanusiaan. Hal ini menyebabkan
timbul kecenderungan yang menyatakan bahawa bukti kejayaan hidup seseorang itu
boleh dilihat dari amalan dan perlakuannya yang menggilai segala bentuk
barangan produk barat, yang kerap dianggap sebagai budaya ‘Amerinisation’dan
‘Macdonaldisation’. Keduanya adalah sikap yang terlalu mendewa-dewakan
artis dan produk hiburan barat yang ditaja oleh kesemua media massa, sebagai
keperluaan hidup zaman moden yang harus ditiru, tanpa memikirkan sama ada
kedua-duanya boleh menyumbangkan kepada usaha pengisian minda dan budaya
berfikir yang sihat.
Remaja sangat suka berkawan sehingga menjadi rapat
dengannya. Kawan yang baik, boleh membimbing mereka kepada kebaikan, namun jika
tersilap memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara yang
buruk pada diri mereka. Ini kerana faktor rakan sebaya menyumbang kepada salah
laku terutamanya kepada pelajar-pelajar yang tercicir dalam pelajaran dan mengalami
masalah keluarga. Rakan juga mampu mencorak personaliti seseorang. Justeru itu
ibubapa perlu mengetahui dengan siapa anak mereka berkawan.
Selain itu sikap remaja turut menyumbang kepada gejala
sosial, kadangkala mereka ini terlalu mudah mempercayai orang lain. Umpamanya,
jika mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan lebih memahami, dengan
mudah mereka akan mengikut apa yang dilakukan oleh rakan-rakan. Mereka lupa
bahawa ‘kawan juga kadangkala boleh makan kawan’. Dalam keadaan ini ramai remaja
terjerumus ke dalam gejala sosial.
Pengaruh rakan sebaya ini memberi impak yang besar
kepada berlakunya masalah sosial di kalangan remaja. Remaja mempunyai banyak
masa untuk bersama temannya berbanding dengan ibubapa dan guru. Ajakan dan
pujukan rakan sebaya untuk melakukan gejala sosial menyebabkan remaja terjebak
dalam salah laku tersebut. Ini kerana rakan sebaya adalah individu paling
hampir dengan remaja selepas keluarga. Remaja lebih cenderung mencurahkan
masalah mereka kepada rakan sebaya dan menjadikan mereka sebagai pakar rujuk
untuk membuat sesuatu keputusan. Justeru, remaja perlu mengetahui cara untuk mencari
sahabat yang baik yang boleh memberi manfaat kepada mereka.
3. Pengaruh Media Masa dan
Teknologi Maklumat
Media massa dikategorikan sebagai media cetak seperti
akhbar dan majalah dan media elektronik seperti televisyen dan internet. Apa
yang dipaparkan di media massa sangat memberi kesan dan pengaruh yang besar
kepada perkembangan remaja. Oleh itu apa sahaja yang dipaparkan hendaklah bermanfaat
kepada remaja. Namun, ada segelintir majalah-majalah, makalah-makalah, program-program
televisyen, drama-drama, serta rancangan-rancangan yang bersifat hiburan
semata-mata serta membawa kesan negatif kepada remaja seperti program realiti
tv, adegan pergaulan bebas, ciuman, adegan lucah, merempit, minum arak dan
lain-lain. Ini membawa kesan yang tidak baik kepada remaja.
Tambahan
pula ditambah dengan perkembangan teknologi maklumat yang terkini seperti
komputer, laptop, internet dan handphone yang mampu dimiliki oleh
remaja. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd
Bakri Mohd Zinin berkata masalah sosial di kalangan remaja mempunyai kaitan
dengan teknologi maklumat yang lebih canggih di mana bahan-bahan lucah di internet
semakin mudah disebar dan diakses oleh orang ramai termasuk golongan
remaja.Kemudahan ini adalah untuk kebaikan pengguna. Namun sekiranyan kemudahan
ini disalahgunakan, maka berlakulah perkara-perkara yang negatif di kalangan
remaja sebagai contoh mereka menggunakan internet untuk melayari website-website porno, mereka menggunakan handphone untuk merakam adegan seks yang dilakukan dan
lain-lain. Hal inilah yang membawa kepada gejala sosial di kalangan remaja.
Institusi keluarga penting untuk membantu mengelakkan
remaja dari terjebak dengan gejala sosial. Dalam hal ini peranan ibu bapa
sangat penting, terutamanya sebagai role model (idola) kepada anak-anak.
Kesibukan ibu bapa bukan penghalang ibu bapa untuk mengambil berat hal anak-anak
mereka apa yang penting ibu bapa tahu memainkan peranan dan meluangkan masa yang
berkualiti bersama anak-anak. Suasana kekeluargaan yang baik mampu melahirkan
anak-anak yang baik. Berlakunya perceraian, perpisahan dan pergaduhan dalam keluarga
membawa kesan negatif kepada remaja. Keadaan ini menyebabkan mereka terjebak
dalam gejala sosial.
Ibu bapa
seharusnya mempunyai masa untuk berkomunikasi dan mengambil tahu tentang
perihal anak-anak mereka. Ini kerana jika kurang berkomunikasi menyebabkan
komunikasi antara ibu bapa dan anak-akan akan menjadi lebih formal . Di
tambah pula dengan wujudnya budaya nursery kebanyakan ibu bapa melayu
telah menyerahkan tugas membesar dan mendidik anak-anak kepada pusat asuhan
ini, serta membataskan tugas mereka hanya kepada usaha mencari rezeki
semata-mata. Hal ini telah menyumbangkan kepada renggangnya hubungan kasih
sayang di antara ibu bapa dengan anak-anak, yang telah mewujudkan fenomena
penggantungan anak-anak secara keterlaluan kepada rakan sebaya. Faktor ini telah
menjerumuskan anak-anak remaja Melayu ke lembah gejala maksiat dan jenayah
remaja yang cukup meruncing sekali.
Sepatutnya tidak
boleh membiarkan anak-anak bersendirian menentukan jalan hidup mereka sendiri.
Anak-anak perlukan bimbingan serta ibu bapa harus sentiasa berdoa agar
anak-anak mereka terhindar dari perkara-perkara yang tidak diingini. Mereka
harus sedar bahawa doa ibu bapa sangat penting untuk kesejahteraan hidup
anak-anak.
STASTISIK PEMBUANGAN (2005–2015)[22]
Data berikut adalah statistik berkaitan
jumlah kes pembuangan bayi
sebagaimana yang dilaporkan di seluruh
negara:
Statistik Kes Pembuangan Bayi Tahun
2005–2015
Bil
|
Tahun
|
Jumlah
|
1
|
2005
|
67
|
2
|
2006
|
83
|
3
|
2007
|
76
|
4
|
2008
|
102
|
5
|
2009
|
79
|
6
|
2010
|
91
|
7
|
2011
|
98
|
8
|
2012
|
89
|
9
|
2013
|
90
|
10
|
2014
|
53
|
11
|
2015
|
78
|
Jumlah
|
|
906
|
Sumber: Statistik Kes Buang Bayi PDRM
HUKUMAN UNDANG-UNDANG ISLAM
Demi menjaga kelangsungan hidup manusia, Islam telah menetapkan bahawa
pembunuh hendaklah dikenakan hukuman qisas iaitu bunuh balas. Maka dalam
kes pembuangan bayi ini, sekiranya anak yang dibuang itu mati, si pembuang
perlulah dihukum bagi mengelakkan perkara ini terus berlarutan. Islam
menggariskan beberapa kaedah berkaitan menjaga keturunan antaranya seperti
disyariatkan perkahwinan, dianjurkan berkahwin dengan anak gadis, diharuskan
poligami bagi yang mampu dan diharamkan zina serta menutup pintu-pintu yang
boleh membawa kepada zina (saddu azzarai’). Manakala perbuatan yang
boleh menghalang dari bertambahnya keturunan adalah dilarang seperti
meninggalkan berkahwin, mencegah kehamilan tanpa sebab syarie dan menggugurkan
anak.
Dasar utama tamadun Islam ini ditentukan, didorong dan didukung oleh
beberapa aspek penting iaitu memelihara keselamatan agama, memelihara nyawa,
memelihara keselamatan akal, memelihara maruah atau keturunan, memelihara harta
benda dan memelihara hak dan kebebasan.[23]
Hukuman yang diperuntukkan
bertujuan sebagai pemulihan bagi pesalah-pesalah jenayah syariah. Pelaksanaan
hukuman terhadap pesalah diharap dapat mengembalikan pesalah berkenaan ke jalan
kebenaran dan menjauhkannya dari kemaksiatan. Firman Allah s.w.t dalam Surah
az-Zukhruf ayat 48:
وَأَخَذْنَاهُم بِالْعَذَابِ لَعَلَّهُمْ
يَرْجِعُونَ
Maksudnya: “Dan kami timpakan ke atas mereka azab supaya mereka
kembali ke jalan yang benar”.
1.
Persetubuhan Luar Nikah[24]
Faktor utama
pembuangan bayi yang tidak dikehendaki ialah berlakunya persetubuhan luar
nikah. Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah di Malaysia (selepas ini
AKJS/EKJS) memperuntukkan perbuatan ini sebagai satu kesalahan yang dipandang
berat. Peruntukan ini dimasukkan ke bawah AKJS/EKJS adalah kerana ia terkandung
di dalam al-Quran yang melarang dan menghukum perbuatan zina atau persetubuhan
luar nikah ini.
Seksyen 23 (1)
(2) Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan)
1997, telah memperuntukkan kesalahan yang berhubungan dengan kesusilaan seperti
berikut;
(1) Mana-mana
orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan
isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan
boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh
tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum
dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
(2) Mana-mana
orang perempuan yang melakukan persetubuhan dengan orang lelaki yang bukan
suaminya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh
didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak
melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum
dengan mana-mana hukuman itu.
2.
Khalwat[25]
Khalwat
ditakrifkan sebagai pengasingan diri di tempat-tempat yang terpencil dan
tersembunyi oleh lelaki dan perempuan yang tidak berkahwin atau berada
berdua-duaan di dalam keadaan yang sumbang di tempat-tempat yang terpencil atau
tersembunyi di antara lelaki dan perempuan yang tidak bernikah.
Kesalahan
khalwat juga dilihat sebagai berpotensi mendorong ke arah perbuatan
persetubuhan luar nikah seperti yang dijelaskan di atas. Larangan berkhalwat
iaitu bersunyi-sunyian di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram
terkandung di bawah seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah
Persekutuan) 1997 seperti berikut:
(a) orang
lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang
perempuan yang bukan isteri atau mahramnya.
(b) orang
perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada
seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya.
Di mana-mana
tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang
boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak
bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda
tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi
dua tahun atau kedua-duanya.
3.
Muqaddimah Zina[26]
Muqaddimah zina
ialah perbuatan yang dikira sebagai persediaan atau percubaan melakukan
persetubuhan luar nikah. Ia melebihi tahap khalwat iaitu bersunyi-sunyian dan
belum melakukan persetubuhan. Seksyen 24 Akta Kesalahan Jenayah Syariah
(Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan bagi kesalahan yang sama
iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah
seperti berikut; Mana-mana orang yang melakukan apa-apa perbuatan sebagai
persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah adalah melakukan suatu
kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit
atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Berlainan
dengan tiga kesalahan di atas, kesalahan hamil luar nikah menjadi satu
kesalahan di lapan buah negeri sahaja iaitu di Negeri Sembilan, Sabah, Melaka.
Perlis, Kedah, Perak, Pahang dan Kelantan. Peruntukan mengenainya di bawah
seksyen 75 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, adalah seperti
berikut;
(1) Seseorang
perempuan yang didapati hamil atau melahirkan bayi di luar nikah akibat dari
persetubuhan haram yang dilakukan dengan kerelaannya dan kesedarannya adalah
melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman
denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak
melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
(2) Seseorang
perempuan yang melahirkan seorang bayi yang penuh sifat dalam masa enam bulan
selepas dia berkahwin hendaklah disifatkan sebagai melahirkan anak di luar
nikah: Dengan syarat bahawa beban membuktikan seorang perempuan itu telah
melakukan persetubuhan cara syubhat atau telah berkahwin atau anak itu dilahirkan
dalam jangka masa yang boleh diterima mengikut Hukum Syarak adalah terletak di
atas perempuan itu.
Pelaksanaan
hukuman bagi kes-kes yang direkodkan menunjukkan bahawa pembuangan bayi ini
ditangani oleh undang-undang Sivil manakala peruntukan berhubung hukuman bagi
jenayah seksual dan kehormatan diri dalam Enakmen Jenayah Syariah dilihat
sebagai “pemula” kepada jenayah buang bayi.
KESIMPULAN
Setiap orang perlu ada rasa tanggungjawab dalam
menjalankan suatu tugas tidak kira sama ada ia perkara kecil atau besar teruma
sekali para ibu bapa perlu membentuk anak dengan menerapkan didikan agama yang
sewajarnya dan memastikan membuat pemantauan ke atas mereka sejak dari kecil
sehingga dewasa dari semasa ke semasa supaya anak-anak menjadi seorang yang
berguna pada masyarakat. Hal ini dapat dibendung dengan baik daripada mereka
terjerumus kepada perbuatan yang tidak baik apatah lagi perkara yang di tentang
dalam Islam. Tambahan pula, mereka perlu didedahkan pedidikan seks yang
sempurna dan ia juga perlu diberitahu tentang kebaikan dan keburukan, sebab dan
akibat dan perlakuan yang mereka lakukan dan mereka harus bertanggungjawab atas
perbuatan itu kerana sekiranya tidak dapat di kawal akan memberi impak yang
buruk kepada diri sendiri, keturunan, keluarga, masyarakat, agama dan negara
agar anak-anak sedar bahawa perbuatan yang dilakukan adalah satu dosa besar dan
akan terima balasan daripada Allah swt.
Selain itu juga pihak yang berkenaan yang lain seperti pihak yang berkuasa
dan pihak media sosial seharusnya mengadakan ceramah atau kempen pada peringkat sekolah
mahupun peringkat taman-taman perumahan. Melalui program tersebut, masyarakat
dapat diberi kesedaran tentang keburukan pergaulan bebas. Seperti yang kita
ketahui, kes pembuangan bayi berpunca daripada pergaulan bebas yang dianggap
sebagai suatu perkara biasa pada masyarakat masa kini. Kita seharusnya
mengelakkan diri daripada unsur negatif terutama sekali apabila pihak media
memberi pendedahan tentang buruknya penbungan bayi, hal ini kerana kebanyakan
daripada mereka lebih cenderung dengan teknologi pada masa kini dan amatlah
berguna dan bermakna jika dilaksanakan oleh pihak media.
Di
samping itu, pesalah yang disabitkan kesalahan berzina atau kes rogol perlu
dikenakan hukuman yang berat. Mereka perlu dijatuhi hukuman yang berat sebagai
peringatan kepada orang lain dan juga peringatan dari Allah buat dirinya. Hal
ini menyebabkan seseorang perempuan kehilangan harga diri dan terpaksa
menanggung malu sepanjang hayatnya dan juga akan menconteng arang ke muka
keluarga. Oleh sebab itu, undang-undang perlu dikuatkuasakan supaya perogol
atau mereka yang berzina berasa serik atau takut untuk melakukan perkara
tersebut
Oleh yang demikian, pelbagai pihak perlu
berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menyelesaikan dan mengurangkan
kes pembuangan bayi yang berlaku di negara kita. Masalah tersebut akan menular
dan menjadi duri dalam daging jika tidak ditangani segera ketika negara sedang
berusaha untuk mencapai wawasan 2020. Kerjasama daripada semua pihak adalah
amat penting untuk membendung masalah ini kerana ke bukit sama-sama didaki, ke
lurah sama-sama dituruni. Melalui usaha ini, hasrat kerajaan untuk melahirkan
masyarakat yang sihat dari segi lahiriah dan rohani dapat direalisasikan.
RUJUKAN
Dr. ‘Ali ‘Abdul Wahid Wafi, 1987,
Jaminan Islam Terhadap Nyawa dan Kemuliaan Insan.
Mohd Alimin Bin Alias, Kedudukan Dan Perlindungan Hak Anak Buangan
(Al-Liqat) Menurut Undang-Undang Islam Dan Masyarakat Di Malaysia (Kertas
Kerja), Jabatan Syariah Dan Undang-Undang Pengajian Islam Universiti Malaya
Kuala Lumpur 2011
Mustafa ‘Afifi Ab Halim, Mohd Mahyeddin Mohd Salleh, Rezki Perdani
Sawai, Nurhafizah Muhd Syukor, Dini Farhana Baharussin, Joki Prdani Sawai, The
Malayan Law Journal, Bayi Yang Dibuang : Hak Dan Kedudukan Bayi Di Sisi
Undang-Undang
Fathimah Hj Omar, 1995, Anak Amanah Allah Al-Hidayah Publisher.
Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, 2013,
Pahala Dicari dosa dihindari, solusi isu no 49
Adibah Bahori dan Siti Zubaidah Ismail Jabatan Syariah
Undang-undang, Pencegahan Dan Hukuman Perbuatan Buang Bayi Menurut Kerangka
Perundangan Syariah Dan Sivil Di Malaysia: Cukupkah Undang-Undang Yang Ada ? (Kertas
Kerja), Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
[1] Fathimah Hj Omar, Anak
Amanah Allah, 1995, Al-Hidayah Publisher, halaman 1
[8] Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, 2013,
Pahala Dicari dosa dihindari, solusi isu 49, halaman 14
[13] Mohd Alimin Bin Alias, Kedudukan Dan Perlindungan Hak Anak Buangan
(Al-Liqat) Menurut Undang-Undang Islam Dan Masyarakat Di Malaysia (Kertas
Kerja), Jabatan Syariah Dan Undang-Undang Pengajian Islam Universiti Malaya
Kuala Lumpur 2011, halaman 24
[14] Siti Fatimah Abdul Rahman (2008), “Masalah Buang Bayi
Perlu Ditangani”, Utusan Malaysia: Julai 8 (http://ikim.gov.my/v5 , 3 April
2011)
[16] Hashim bin Haji Bedu, Khairulhelmi bin Katip, Mohd
Fahmi bin Mohd Sahid, Syed Mohamed Syafeq Syed Mansor 2008, Keruntuhan Akhlak
Dan Gejala Sosial Dalam Keluarga; Isu Dan Cabaran”(Kertas Kerja Seminar
Kaunseling Keluarga, Fakulti Pendidikan. Universiti Teknologi Malaysia),
halaman 58
[17] Mohd Alimin Bin Alias, Kedudukan Dan Perlindungan Hak Anak Buangan
(Al-Liqat) Menurut Undang-Undang Islam Dan Masyarakat Di Malaysia (Kertas
Kerja), Jabatan Syariah Dan Undang-Undang Pengajian Islam Universiti Malaya
Kuala Lumpur 2011, halaman 30
[19] Hashim bin Haji
Bedu, Khairulhelmi bin Katip, Mohd Fahmi bin Mohd Sahid, Syed Mohamed Syafeq
Syed Mansor, 2008, Keruntuhan Akhlak Dan Gejala Sosial Dalam Keluarga; Isu Dan
Cabaran (Kertas Kerja Seminar Kaunseling Keluarga, Fakulti Pendidikan.
Universiti Teknologi Malaysia) halaman.51-52
[20] Mohd Alimin Bin Alias, Kedudukan Dan Perlindungan Hak Anak Buangan
(Al-Liqat) Menurut Undang-Undang Islam Dan Masyarakat Di Malaysia (Kertas
Kerja), Jabatan Syariah Dan Undang-Undang Pengajian Islam Universiti Malaya Kuala
Lumpur 2011, halaman 34
[21]Mohd Alimin Bin Alias, Kedudukan Dan Perlindungan Hak Anak Buangan
(Al-Liqat) Menurut Undang-Undang Islam Dan Masyarakat Di Malaysia (Kertas
Kerja), Jabatan Syariah Dan Undang-Undang Pengajian Islam Universiti Malaya
Kuala Lumpur 2011, halaman 36
[22] Adibah Bahori dan Siti Zubaidah Ismail Jabatan Syariah
Undang-undang, Pencegahan Dan Hukuman Perbuatan Buang Bayi Menurut Kerangka
Perundangan Syariah Dan Sivil Di Malaysia: Cukupkah Undang-Undang Yang Ada ? (Kertas
Kerja), Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, halaman 123
[23] Mustafa ‘Afifi Ab Halim, Mohd Mahyeddin Mohd Salleh, Rezki Perdani Sawai,
Nurhafizah Muhd Syukor, Dini Farhana Baharussin, Joki Prdani Sawai, The Malayan
Law Journal, Bayi Yang Dibuang : Hak Dan Kedudukan Bayi Di Sisi Undang-Undang,
halaman vi
[24] Adibah Bahori
dan Siti Zubaidah Ismail Jabatan Syariah Undang-undang,
Pencegahan Dan Hukuman Perbuatan Buang Bayi Menurut Kerangka Perundangan
Syariah Dan Sivil Di Malaysia: Cukupkah Undang-Undang Yang Ada ? (Kertas Kerja),
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, halaman 126
[25]Adibah Bahori
dan Siti Zubaidah Ismail Jabatan Syariah Undang-undang,
Pencegahan Dan Hukuman Perbuatan Buang Bayi Menurut Kerangka Perundangan
Syariah Dan Sivil Di Malaysia: Cukupkah Undang-Undang Yang Ada ? (Kertas Kerja),
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, halaman 127
[26] Adibah Bahori dan Siti Zubaidah Ismail
Jabatan Syariah Undang-undang, Pencegahan Dan Hukuman Perbuatan Buang Bayi
Menurut Kerangka Perundangan Syariah Dan Sivil Di Malaysia: Cukupkah Undang-Undang
Yang Ada ? (Kertas Kerja), Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, halaman
128
[27] Adibah Bahori dan Siti Zubaidah Ismail
Jabatan Syariah Undang-undang, Pencegahan Dan Hukuman Perbuatan Buang Bayi
Menurut Kerangka Perundangan Syariah Dan Sivil Di Malaysia: Cukupkah Undang-Undang
Yang Ada ? (Kertas Kerja), Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, halaman
129
No comments:
Post a Comment